Monday, December 8, 2008

Majlis korban di Kampung Telisai tumbangkan 9 ekor kerbau

Umat Islam di Negara Brunei Darussalam hari ini meyambut Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT.
Ahli Takmir Masjid Kampong Telisai dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampong Telisai hari ini mengadakan majlis ibadat korban yang disertai seramai 63 orang penduduk kampong di mana sebanyak 9 ekor kerbau di korbankan. Majlis tersebut mengambil tempat di perkarangan masjid berkenaan. Menurut Ahlijawatankuasa Takmir Masjid Telisai Awg. Ramli Hj. Lahit, daging-daging korban tersebut akan diagihkan kepada fakir miskin di kampong tersebut seramai 54 orang dan mereka yang berhak menerimanya.

Ibadat korban merupakan ibadat yang sangat dituntut iaitu Sunat Muakkad dalam syariat Islam dan ia berperanan sebagai platform bagi seseorang untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wataala di atas nikmat yang dilimpahkan. Antara kebaikan melakukan ibadat tersebut ialah dapat menghindar sifat kedekut dan tamak dalam diri, selain itu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan umat Islam. Dari majlis ini juga dapat dilihat para penduduk kampong bergotong-royong dari kerja-kerja penyembelihan hingga kepada pembungkusan daging-daging tersebut.
Seperti lazimnya apabila tiba 10 Zulhijah dan Hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah, amalan berkorban semakin bertambah di mana hampir setiap masjid-masjid, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, sektor-sektor swasta serta orang-orang persendirian menganjurkan Majlis Ibadat Korban.

No comments: