TUTONG, Khamis – Beberapa ibubapa dan penduduk di Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang di sini melahirkan rasa bimbang mengenai dengan keselamatan anak-anak mereka mengenai dengan kehadiran sekumpulan anjing-anjing liar di kawasan tersebut.
Anjing-anjing ini kelihatan berkeliaran di kawasan luar Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang dan kanak-kanak yang kebiasaan berjalan kaki ke sekolah tersebut juga turut merasa takut untuk pergi ke sekolah. Menurut beberapa orang ibubapa yang sempat ditemui berkata, kehadiran anjing-anjing berkenaan datangnya dari kediaman sementara pekerja-pekerja buruh binaan berhampiran sekolah tersebut. Menurut mereka lagi seringkali anjing-anjing ini dilihat merayau-rayau ke rumah penduduk di sini dan menyelongkar sampah serta mencuri selipar atau kasut.
Selain itu mereka juga turut meminta kerjasama dari pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah anjing-anjing liar tersebut demi keselamatan anak-anak mereka yang sering berjalan kaki untuk pergi ke sekolah berhampiran.
Tidak lama dahulu negara kita telah dikejutkan dengan beberapa serangan anjing liar ke atas beberapa orang murid sekolah di Daerah Brunei Muara yang mengakibatkan kecederaan dan penduduk di sini berharap kejadian tersebut tidak terjadi di sini.
No comments:
Post a Comment